Moga Allah Pelihara Jemaah Ini

Syukran jazilan....

Islamic religion1

Wednesday, August 29, 2007

“ Erti Kemerdekaan Adakah Minda Muda-mudi Masih Dijajah?!!”

Salam Perpaduan, Salam Merdeka Dan Salam Muhibbah…

Alhamdullillah…bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana dengn limpah kurnianya, InsyaAllah kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaaan Negara Malaysia tercinta yang ke-50 tidak sampai 2 hari lagi iaitu 31 Ogos yang akan datang. Maka hari ini, suka saya untuk berpidato di bawah tajuk “ Erti Kemerdekaan Adakah Minda Muda-mudi Masih Dijajah?!!”

Hadirin Hadirat Yang dimuliakan,

Jika dinisbahkan kepada umur seorang manusia, tempoh 50 tahun adalah ibarat seorang datuk yang mempunyai 3 orang cucu. Maka dalam jangkauan umur ini, adalah mustahil pemikiran mereka masih seperti kanak-kanak seusia 10 tahun. Namun bukan itu yang ingin saya perkatakan. Tetapi hakikat kini, muda-mudi tidak dapat mencapai pemikiran seperti yang dialami oleh mereka-mereka yang sama-sama berjuang mendapatkan kemerdekaan. Nama seperti Abdurrahman Limbong, Tok Janggut, Tok Bahaman langsung tidak diketahui apatah lagi dikenali. Malah mereka-mereka ini lebih mengenali siapa J.W.W Bird yang kononnya teraniaya.

Lahir mereka kedunia dalam keadaan sudah sedia merdeka. Apa yang dihajatkan dihati seringkali tertunai. Tidak langsung pernah merasa keperitan zaman pejuang-pejuang bangsa mendapatkan kemerdekaan. Makanan tidak mencukupi, pembunuhan setiap hari sehinggakan tidak sedikit yang terkorban untuk meraih kemerdekaan. Namun malangnya apabila kemerdekaan telah diperoleh, muda-mudi lupa semua itu. Saban tahun, jika disebut hari kemerdekaan, mereka jadi seronok untuk menyambutnya tanpa sedikitpun mengetahui erti sebenar kemerdekaan itu. Jauh dari itu, setiap kali sambutan dibuat, seolah-olah menyambut sebuah pesta keraian tanpa seikitpun menoleh ke belakang bagaimana sebuah kemerdekaan dicapai. Jerit perih pegorbanan wira-wira silam langsung dilupakan dengan semangat yang tinggi menyatakan kita tidak lagi dan tidak mungkin akan pernah terjajah semula kerana kita telah merdeka!

Hadirin Yang dimuliakan,

Namun hakikat kini, kita masih lagi dijajah!!.Bukan dari segi lahir, tetapi dalaman dan pemikiran kita telah terjajah. Sedar atau tidak, kita sebenarnya menuju kepada penjajahan bentuk baru yang jauh lebih ganas. Jika penjajah-penjajah zaman silam tidak mampu mengubah budaya bangsa kita seperti Melayu tetap Melayu, Cina tetap Cina dan India tetap India. Tetapi lihatlah kini, muda-mudi yang telah keracunan minda ini menganggap setiap yang dilakukan oleh bekas penjajah ini adalah yang terbaik dalam hidup. Mereka lupa manusia yang mereka jadikan model ini merupakan penjajah bangsa mereka suatu masa dahulu. Penjajahan bentuk baru ini telah berjaya mengubah Melayu menjadi Inggeris, Cina menjadi Irish dan India menjadi Perancis!!

Lihatlah sahaja cara pemakaian muda-mudi ini. Semakin hari baju kurung diganti dengan seluar ketat, Kain pelikat diganti dengan seluar pendek. Malah tindik telinga bukan lagi milik wanita, rambut pendek bukan lagi milik lelaki. Halal haram bagi Islam bukan lagi ukuran, yang tidak elok bagi bangsa Cina bukan lagi sandaran. Sedarlah Khadijah sudah jadi Caddy dan Tan Jiun Yang sudah jadi Robert. Maka apa lagi yang tinggal untuk mengambarkan jati diri bangsa sendiri?

Duhai rakyat Malaysia sekalian,

Bagaimana minda mudi-mudi ini tidak dijajah jika saban tahun setiap kali tiba musim sambutan kemerdekaan, kita terlalu disogokkan dengan hiburan yang melalaikan. Tidak dinamakan sambutan jika malamnya tiada bunga api dimainkan tidak dinamakan sambutan jika tiada artis antarabangsa dijemput membuat persembahan. Tetapi dalam prose situ, mat rempit berleluasa, zina tidak terkawal dan penagih dadah turut berpesta. Inikah erti sebenar sebuah kemerdekaan??...setakat ini sahajakah sambutan sebuah kemerdekaan ??..dan diakhiri pada paginya dengan sebuah perbarisan..dan perkara ini berterusan dari tahun kesetahun. Program kerohanian diabaikan, dan jika ada yang masih mempunyai kesedaran untuk melaksanakan tidak ramai yang akan menyertai. Kerana minda mereka berkata ini bukan caranya menyambut kemerdekaan!!

Maka janganlah hairan nanti jika ditanya kenapa muda-mudi ini tidak lagi mengenal bangsanya. Kerana kita tidak langsung menyekat budaya songsang yang dibawa oleh penjajah. Malah lebih teruk dari itu, kita menganggap mereka yang terbaik. Dunia semakin terbuka dan tiada sekatan yang boleh dibut. Perkahwinan sejenis bukan lagi perkara baru, zina sana sini umpama kejadian biasa, maksiat dikatakan lucu, anak haram mempunyai kesatuan, bunuh bayi tidak berdosa, mat rempit pejuang bangsa, penagih bangsa aset berharga dan rasuah dianggap upah!!. Macam inikah negaraku yang telah 50 tahun merdeka??. Tidak ingatkah kita pada apa yang berlaku di Indonesia yang kini hamper lumpuh kerana mereka sudah hilang jati diri!

Bangunlah rakyat Malaysia,

Kita bina bina jati diri, kita pupuk kesatuan hati, kerana kita mempunyai bangsa sendiri yang perlu kita cermati.Melayu, Cina, India dan semua peribumi, Kita adalah bangsa Malaysia. Kita adalah kita. Tidak perlu menjadi yang lain. Kemerdekaan bukanlah jaminan kita akan kekal merdeka. Kerana penjajah menganggap kita tidak lagi perlu dijajah lahirnya kerana kita sudah jadi seperti mereka!! Malah kadang kala kita lebih terkehadapan daripada mereka.

Jika berbahasa, bahasa Melayu tidak lunak sebutannya, bahasa mandarin tidak fasih struktur bunyinya, bahasa Tamil tidak ketahuan asasnya tetapi bahasa penjajah ini kita tahu penggunaan mana yang salah melebihi bangsa penjajah ini sendiri. Tidak hairanlah jika ada yang menyatakan kelihatan bodoh jika berbahasa ibunda!! Semua ini terjadi kerana minda muda-mudi telah terjajah dengan menyatakan bahawa bahasa inilah bahasa dunia dan dengan bahasa inilah kita akan maju. Dan untuk kelihatan maju apalah salahnya jika warisan bangsa kita lupakan!!

Hadirin Hadirat pemilik jiwa merdeka,

Ayuh kita bangun dan kita sedarkan diri kita dari lena yang panjang, kemerdekaan bukan sekadar sambutan. Ia memerlukan pengisian dan jiwanya sendiri. Jauh dari itu, kemerdekaan perlu dipertahankan. Bukan sahaja dari segi lahir, kita seharusnya merdeka dari segala segi. Minda kita perlulah diubah kepada minda pejuang bangsa dan agama dan bukannya minda seperti seorang penjajah. Saya menyeru kepada diri saya dan kalian semua supaya kita sama-sama melahirkan generai selepas ini yang faham apa sebenarnya erti sebuah kemerdekaan. Dan ketahuilah ianya memakan masa 450 tahun untuk dicapai tetapi dalam sekelip mata boleh dirampas!!

Salam Merdeka dan Selamat Berjuang!!





No comments:

Related Posts with Thumbnails

Bebaskan Tahanan ISA!!

Bebaskan Tahanan ISA!!
Wahai Pemimpin Pakatan Rakyat!! Tunjukkan Semangat Perjuangan Anda Demi Menegakkan Keadilan Kepada Rakyat Tanpa Mementingkan Harta Atau Pangkat! Tunjukkan Keikhlasan Anda!!