Moga Allah Pelihara Jemaah Ini

Syukran jazilan....

Islamic religion1

Thursday, August 30, 2007

Program Pendidikan Perlu Hindar Lahirkan Robot: Raja Nazrin

IPOH, 29 Ogos (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah hari ini mengingatkan mengenai pentingnya asas falsafah pendidikan yang menekankan pembinaan sahsiah, minda dan roh insan bagi menghindari lahirnya "produk pendidikan robot".

Baginda menyifatkan "produk pendidikan robot" itu sebagai manusia yang hilang sifat-sifat insaniah sebaliknya akan bersifat takbur dan berlagak sombong.

"Produk pendidikan yang dihasilkan, wajib diperkukuhkan dengan iman dan takwa, menjadi insan yang memiliki integriti diri yang tinggi lagi dihormati, bersifat jujur dan bersifat amanah," titah baginda pada Konvokesyen Kolej Islam Darul Ridzuan (KIDR) di sini hari ini.

Menurut Raja Nazrin, program pendidikan hendaklah dirangka untuk dapat menghubungkan modal insan yang dibangunkan dengan proses pembangunan negara.

Baginda bertitah pelbagai perkembangan yang sedang berlaku di abad ke-21 menuntut kepada orientasi baru, pendekatan baru, kaedah baru dan kurikulum baru pendidikan supaya produk pendidikan menjadi relevan kepada keperluan semasa.

Usaha mencetuskan transformasi pendidikan yang dilancarkan oleh kerajaan amatlah bertepatan dan membuktikan usaha serius negara dalam merealisasikan agenda membangunkan modal insan, titah baginda.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, melancarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang memperkenalkan tiga langkah khas untuk mencetuskan transformasi dan membawa pembaharuan kepada institusi pengajian tinggi negara ini.

Menerusi rancangan jangka panjang yang melangkaui tahun 2020 itu, Perdana Menteri menetapkan matlamat untuk meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur IPT dan membina rangkaian dengan institusi-institusi pendidikan tinggi ternama dunia.

Raja Nazrin bertitah bahawa pembangunan insan akan lebih sempurna jika sentuhan keinsanan turut terbina di samping keupayaan menguasai ilmu teknologi.

Baginda juga mengingatkan bahawa teknologi yang dikuasai oleh manusia yang memiliki nilai kemanusiaan akan digunakan untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia tetapi akan menyebabkan kemusnahan apabila dikuasai golongan yang zalim.

"Teknologi tinggi semata-mata jika tidak diimbangkan dengan sentuhan kemanusiaan tidak akan memberi faedah kepada kehidupan alam. Konsep sinergi bersepadu yang merupakan kesepaduan antara komponen peribadi mulia dan komponen misi universal perlulah menjadi asas dalam pembangunan sahsiah insan," titah baginda.

Menurut Raja Nazrin, kejayaan sistem pendidikan juga bergantung kepada tenaga pengajar yang bijaksana dan berupaya menggabungkan keagungan tradisi dengan pengetahuan semasa selain berupaya menyemai roh dan komponen kemanusiaan di hati pelajar.

Dalam konvokesyen hari ini, 173 pelajar menerima diploma bagi pengajian syariah, bahasa dan kesusasteraan Arab, teknologi maklumat, perbankan dan kewangan Islam serta perakaunan.

-- BERNAMA

Tidak dinafikan mahasiswa yang dilahirkan kini lebih lesu dan bersifat menurut..asal sahaja mendapat pekerjaan selepas tamat belajar...mereka jadi gembira tanpa sedikitpun mempedulikan hak2 mereka sebagai mahasiswa...mereka lebih suka hidup statik daripada bersusah payah meningkatkan kualiti diri...moga2 aku dan kamu tidak tergolong dari manusia2 rugi ini...amin

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Bebaskan Tahanan ISA!!

Bebaskan Tahanan ISA!!
Wahai Pemimpin Pakatan Rakyat!! Tunjukkan Semangat Perjuangan Anda Demi Menegakkan Keadilan Kepada Rakyat Tanpa Mementingkan Harta Atau Pangkat! Tunjukkan Keikhlasan Anda!!