Minda Pembaca: Kaji mengapa "Meng Chee" jadi begitu |
Monday, 13 August 2007 | |
Oleh: MYI, Bangi ADALAH sangat mudah untuk banyak pihak terjebak di dalam isu Meng Chee secara tidak rasional sehingga tidak kurang yang mencadangkan anak muda berumur 24 tahun tersebut ditangkap dan didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Klip video kontroversinya yang dikatakan menghina lagu Negaraku, yang secara langsung diinterpretasikan sebagai telah menghina negara, agama (tentunya agama Islam), bangsa serta pemimpin yang telah banyak berjasa dengan menggunakan bahasa kasar serta lucah. Pada pendapat saya jika semakin ramai orang politik diberi kesempatan untuk menyuarakan pendapat mereka masing masing dalam isu ini dan akhbar akhbar arus perdana pula sibuk mensensasikannya kita berkemungkinan akan mencatit satu lagi episod yang tidak enak di dalam hubungan antara kaum di negara ini. Bukan kejadian pertama dan terakhir Saya khuatir kesan negatifnya kerana sebahagian masyarakat negara majmuk ini sudah tentu akan melihat kepada siapa dan bukannya apa dan mengapa. Meng Chee bukanlah orang pertama yang telah dikatakan menghina lagu Negaraku dan kita boleh percaya bahawa beliau pula bukan semestinya yang terakhir. Telah ada sebelum ini rakyat di dalam negara ini yang telah menghina Nabi Besar Muhammad SAW dikaca TV, akhbar arus perdana yang telah memuatkan kartun yang menghina Nabi Besar Muhammad SAW, ada yang telah menghina bahasa Melayu di pentas dan juga ada pula yang telah menghina lagu Negaraku dan sebagainya. Kenapa pula tidak ada 'juara' yang sibuk untuk mengISAkan mereka mereka ini ketika itu? Apakah sekali ini kebetulan ianya "Meng Chee" dan bahang pilihanraya telah hampir maka timbul 'juara' yang begitu prihatin tentang imej negara di mata dunia?. Kebetulan "Meng Chee" adalah warganegara Malaysia yang belajar di luar negara. Apa pula halnya nanti jika di masa akan datang ada bukan warganegara di luar negara kita yang turut mempersendakan Negaraku, agama, bangsa dan negara? Apakah kita nanti akan turut mencadangkan supaya mengISAkan sahaja mereka? Perlukah Meng Chee dihukum? Sebagai warganegara di dalam negara yang majmuk ini kita hendaklah berupaya untuk melihat masalah "Meng Chee" itu bukan dari sudut symptomatic yang terhad tetapi patut mengkaji masalah akar umbi sebab musabab terjadinya masalah ini. Usia "Meng Chee" adalah seusia mahasiswa kita yang ratusan ribu yang sedang belajar di IPTA/IPTS tempatan maupun di luar negara. Apa sahaja tindakan terhadapnya sudah tentu akan mengundang impliksasi baik positif maupun negatif. Sebagai ibubapa kepada "Meng Chee" apakah wajar kita menghukum sahaja beliau? Apakah dengan tindakan sedemikian kita telah menyelesaikan masalah? Bukankah kita juga patut dirotan kerana telah gagal mendidik "Meng Chee" dengan baik? Adakah kita juga sebagai ibubapa telah mendidik ratusan ribu lagi anak bangsa untuk menghormat lagu Negaraku, menghormati kaum yang lain, menghormati agama yang lain dan mengenali pemimpin masa lampau yang telah banyak berjasa kepada Negara? Apakah kita mempunyai sistem pendidikan yang boleh menjamin semua itu, sekarang? Penulis merupakan seorang pensyarah universiti terkemuka. Atas sebab tertentu beliau memohon klpos.com merahsiakan identitinya. - Pengarang P/s : "Apakah kita mempunyai sistem pendidikan yang boleh menjamin semua itu, sekarang?"...aku juga seringkali tertanya2 macam apakah sistem pendidikan kita kini??...Ya Allah berikanlah kami petunjuk kejalan yang benar... |
No comments:
Post a Comment